Friday, July 11, 2008

PENTINGNYA ILMU HADIS

Oleh:
Ustaz Khairudin Aman Razali At-Takiri

CARILAH IA SEPERTI MENCARI SESUATU YANG HILANG

Sesekali terlintas di hati kita atau terdengar di telinga kita rungutan tentang sukarnya mengenal pasti hadith sama ada ia sahih atau tidak. Kepada mereka yang pernah merungut dan mengeluh tentang perkara ini, saya ingin tegaskan...ya! Sememangnya ia adalah sesuatu yang sukar dan hanya boleh dilakukan oleh pakar-pakar hadith yang layak. Jadi? Apa penyelesaiannya? Takkanlah tak ada apa yang boleh kita lakukan? Mungkin ada. Mari kita lihat bersama satu ungkapan yang pernah disebut oleh salah seorang tokoh tabi'in (mereka yang sempat bertemu dengan para sahabat tetapi tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bernama Yazid Ibn Abi Habib (128H). Beliau pernah memberi nasihat kepada umat Islam di zamannya dengan katanya: *'Apabila engkau mendengar satu hadith, carilah ia seperti mana kamu mencari sesuatu yang hilang. Jika hadith itu dikenali orang, terimalah. Tapi sekiranya ia tidak dikenali, tinggalkanlah ia'.

* Kata-katanya lebih ringkas tetapi itulah yang dapat saya terjemahkan untuk sama-sama kita fahami. Sumber: Risalah Abu Daud Ila Ahl Makkah karya Abu Daud (275H); Al-Jarh Wa al-Ta'dil karya Ibn Abi Hatim (327H).

UNGKAPAN YANG MENARIK!

Entah kenapa saya amat tertarik dengan kata-kata ini! Bagi saya ia menarik kerana ia datang daripada seorang ahli hadith terkemuka dalam kalangan tabi'in yang tahu keadaan yang dihadapi oleh masyarakat di zamannya. Seolah-olah nasihat ini ditujukan kepada mereka yang masih tercari-cari kaedah sebenar mengenal hadith antara yang sahih atau tidak. Beliau tidak menyuruh semua masyarakat agar belajar sehingga mencapai tahap beliau sendiri yang merupakan antara tokoh hadith terbilang. Ia akan memakan masa yang panjang! Sebaliknya ia memberikan satu penyelesaian yang praktikal dan mudah dilakukan walaupun oleh seorang yang tidak belajar hadith secara formal. Bolehkah nasihat ini digunakan pada zaman kita sekarang? Bolehkah nasihat ini dipakai di Malaysia dalam keadaan ilmu hadith masih belum benar-benar berkembang? Mari kita lihat satu persatu nasihat beliau ini. Mungkin ia berguna untuk saya dan anda dan mungkin juga ia tidak lagi relevan untuk zaman kita. Pilihan di tangan anda!

APABILA ENGKAU MENDENGAR SATU HADITH...

Selalunya kita akan mendengar hadith (walaupun hanya satu!) melalui radio atau kaca tv. Kita juga akan mendengar hadith pada ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah agama bahkan mungkin pada ceramah pilihanraya. Begitu juga kita seringkali terjumpa dengan hadith di dalam majalah, surat khabar,buku, poster, ukiran di dinding, internet, kain rentang, diari, botol ubat, makanan atau minuman dan sebagainya. Yazid Ibn Abi Habib seakan menyuruh kita agar tidak membiarkan sahaja hadith itu tanpa difikirkan atau dikaji, sahih, dhaif atau palsu. Beliau ingin mendidik jiwa umat Islam agar peka dengan maklumat tentang agama mereka, bukan hanya melihat dan membiarkannya tanpa dipedulikan. Kepekaan ini jarang kita temui termasuklah dalam kalangan penuntut ilmu agama sendiri!

Pernah satu petang Jumaat pada tahun 2004 saya didatangi oleh salah seorang pelajar sekolah tempat saya mengajar. Dia datang membawa buku nota kecil dan menunjukkan kepada saya beberapa hadith yang telah dicatatkannya semasa khutbah Jumaat di masjid! Dia ingin tahu, adakah hadith-hadith itu sahih atau tidak. Adakah ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? Ia akan berlaku jika kepekaan dalam diri itu wujud. Nasihat Yazid Ibn Abi Habib amat mendalam. Sanggupkah kita menerima nasihat ini?

CARILAH IA SEPERTI MENCARI BARANG YANG HILANG...

Kalau anda kehilangan sesuatu yang berharga, pasti anda akan ke sana dan ke sini dalam keadaan gelisah dan resah. Ada yang berjumpa bomoh dan dukun. Ada yang meminta masjid melakukan solat hajat berjemaah. Ada yang berdoa siang dan malam agar Allah SWT memberi petunjuk dan mengembalikan barang yang hilang itu.

Inilah yang ingin ditanam oleh Yazid Ibn Abi Habib dalam jiwa masyarakat Islam pada zamannya. Kalau bertemu dengan satu...walaupun satu hadith, carilah ia seperti mencari barang yang hilang. Pergilah bertanya kepada yang tahu. Bukalah alat carian yang anda mampu. Gunakanlah segala jalan yang dirasakan boleh membantu kita mengetahui dari manakah asal-usul hadith itu. Carilah dengan bersungguh-sungguh dan bukan dengan sekadar sambil lewa.

SEKIRANYA ADA, AMBILLAH TAPI SEKIRANYA TIADA...

Setelah mencari, ditaqdirkan anda bertemu dengan kenyataan bahawa hadith yang satu itu adalah sahih, maka tenangkanlah diri anda dan cubalah beramal dengan memahaminya.

Tapi sekiranya hadith itu tidak sahih, tidak diketahui oleh orang berilmu, tiada dalam mana-mana buku yang mengumpulkan hadith sahih, tidak pernah dinilai sahih oleh mana-mana ahli hadith, maka tinggalkanlah ia. Tinggalkan sahaja hadith itu.

Sekiranya hadith itu berada dalam status 'tidak ditemui', tinggalkanlah juga ia kerana kita masih belum pasti adakah ia sahih atau tidak. Tinggalkanlah ia sekejap dalam simpanan. Ada masa, teruskan mencari. Mungkin ada yang akan menjumpainya selain anda.

Setelah anda membaca huraian saya terhadap kata-kata Yazid Ibn Abi Habib, anda boleh membuat keputusan, adakah nasihat beliau masih relevan untuk kita pada zaman ini di negara ini?

Wallahu a'lam.

Hadis Palsu Tentang Bulan Rejab

Bismillahir Rahmanir Rahim

Bagi sesetengah masyarakat Islam, mereka menganggap Rejab adalah bulan teristimewa kerana menyangka mempunyai banyak kelebihan. Sebenarnya tidak thabit dalam hadis sahih yang menyatakan kelebihan Rejab. Cuma bulan ini termasuk dalam salah satu daripada empat bulan yang dilarang berperang padanya selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Tidak dinafikan ada beberapa hadis yang sering kita dengar dalam ceramah dan penulisan mengenai kelebihan bulan ini. Malangnya, kebanyakan hadis itu berkisar sekitar daif, palsu atau tiada sandaran.

Antara hadis yang sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah:

"Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu." - Hadis ini sebenarnya bertaraf daif.

Selain itu, hadis berbunyi:

"Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari nescaya ditutup daripada tujuh pintu neraka jahanam. Sesiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga." - Taraf hadis ini juga daif.

Dalam pada itu ada hadis lagi yang berbunyi:

"Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku."

Hadis ini munkar, malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadis palsu, tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam kitabnya, Tabyin al-'Ajaib bimawarada fi fadl Rajab. Namun menurut beliau, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan mengenai kelebihan dan fadilat puasa pada Rejab.

Tanda daif atau palsu dalam hadis kelebihan Rejab ketara sekali, terutama apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan hadis itu dusta atau palsu.

Bagaimanapun, tiada hadis yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab. Oleh itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan

Namun begitu, soal kethabitan atau ketulenan sesebuah hadis perlu diambil kira. Adalah tidak wajar apa saja yang dikatakan hadis terus disebarkan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) ulama hadis terhadap kedudukannya.

Sebenarnya dengan penyebaran hadis palsu seumpama, akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama Islam terdahulu.

Rasulullah memberikan amaran terhadap orang yang berdusta atas namanya dengan ancaman yang berat. Sabda Rasulullah bermaksud:

"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka." - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Dalam riwayat lain, Nabi menyebut:

"Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka." - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ancaman dalam hadis ini merangkumi segala jenis pendustaan dan pembohongan ke atas Nabi sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat atau ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Dalam menghuraikan maksud hadis ini, Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan:

"Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi dan semua jenis pendustaan ke atas Baginda."

Dalam Islam, pendustaan atas nama Nabi adalah jenayah amat berat. Dimaksudkan pendustaan atas Nabi adalah menyandar sesuatu perkataan, pengakuan atau perbuatan kepada Rasulullah secara dusta. Nabi langsung tidak ada kaitan dengan perkataan, pengakuan dan perbuatan yang disandarkan kepadanya. Misalnya, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda sesuatu yang Baginda tidak pernah bersabda, berbuat atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.

Sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai hadis atau sunnah. Adapun menyandar sesuatu kepada Nabi secara dusta, bukanlah dikategorikan sebagai hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasarkan apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu' (palsu) atau al-Mukhtalaq (rekaan).

Bukan saja membuat hadis palsu itu hukumnya haram, bahkan meriwayatkannya tanpa menjelaskan kepada pendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah haram dan berdosa. Oleh itu, semua umat Islam wajib memandang berat perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasulullah yang menjadi sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran.

Umat Islam jangan mudah tertipu dengan dakwaan palsu yang disandarkan kepada Rasulullah, sedangkan ia tidak ada hubungan langsung dengan Baginda. Sehubungan itu, penyebaran hadis daif dan palsu mengenai kelebihan Rejab ini hendaklah dihentikan agar jangan sampai masyarakat melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala, sedangkan dosa besar pula yang diperoleh akibat menyebar dan beramal dengan hadis palsu seperti ini.